Abu Muhammad al-Madani, qaddasa-l-Lahu sirrah

Abu Muhammad al-Madani

Semoga Allah Mensucikan Rohnya

“Orang Tuhan mabuk tanpa air,

Orang Tuhan kenyang tanpa daging panggang.

Orang Tuhan bingung serba kebingungan,

Orang Tuhan tidak memerlukan makanan mahupun tidur.

Orang Tuhan, dia adalah lautan tanpa batas,

Orang Tuhan menurunkan hujan mutiara tanpa awan.

Orang Tuhan tidak mengenal yang salah melainkan yang benar.”

— Rumi.

Berkat-berkat beliau sampai kepada setiap orang pada zamannya. Beliau adalah seorang Golongan Istimewa (Khas), yang membawa Rahsia-Rahsia Sifat Kenabian. Beliau duduk di atas Takhta Petunjuk, menyebarkan ilmu zahir dan batin, terutamanya dari Kehadiran Ilahi. Beliau adalah seorang master bagi Tarikat ini. Beliau dibezakan di kalangan para Ahli Makrifat. Beliau adalah Penyokong kepada yang lemah. Beliau mempunyai kuasa mukjizat yang agung, yang kelihatan di mana sahaja beliau pergi.

Beliau dilahirkan di Kikunu, sebuah daerah di Ghunib, dalam negeri Timurhansuro, Daghestan pada tahun 1251 Hijrah / 1835 Masihi. Beliau berhijrah bersama keluarganya dari Daghestan pada tahun 1314 Hijrah / 1896 Masihi ke bandar Rashadiya, di antara Bursa dan Istanbul.

Beliau adalah pewaris sejati kepada rupa fizikal Nabi dan pewaris kerohanian baginda. Beliau sangat kacak, dan menyerupai Nabi menurut sifat-sifat Nabi di dalam sirah (Kisah Kehidupan). Beliau mengarang sebuah kitab bertajuk “Ya waladi”, “Wahai Anakku,” dalam tradisi Imam Ghazali yang mengarang “Ayyuha-l-walad”, “Wahai Anakku.”

Perkampungan Kikunu, tempat beliau membesar, adalah tempat yang penuh kerohanian. Penduduk kampung memelihara syariat dan kesemuanya mengikut Syeikh. Sehari sebelum kelahirannya, Shaykh Abu Ahmad as-Sughuri (q) melintasi perkampungan itu dan berkata, “Dari perkampungan ini seorang anak yang mendapat petunjuk akan muncul. Cahayanya akan bersinar dari bumi ke langit. Beliau akan menjadi seorang wali yang agung.” Beliau meramalkan kelahiran dan stesen luhur Sayyidina Abu Muhammad al-Madani (q).

Daghestan pada zamannya dikenali sebagai “Tanah Para Wali”. Pada tahun-tahun awalnya, dua orang Syeikh besar tinggal di sana, Shaykh Muhammad Effendi al-Yaraghi (q) dan Sayyid Jamaluddin al-Ghumuqi (q).

Beliau menerima kuasa pembimbingan dalam enam tarikat: Qadiri, Rufa’i, Shadhili, Chishti, Khalwati, dan Naqshbandi. Beliau terkenal sebagai seorang Syeikh dalam kesemua enam Tarikat.

Daripada Mukjizat Beliau

Pada suatu masa, sebelum Shaykh Muhammad al-Madani (q) mengambil Tarikat Naqshbandi, Hajji Nuri dan Hajji Murtaza melalui perkampungan beliau dan mereka berkata kepada beliau, “Kami hendak menziarahi Ahmad as-Sughuri untuk mengambil bai’ah daripadanya. Adakah kamu mahu mengikut kami?” Beliau berkata, “Ya,” dan ketiga-tiganya memasang niat untuk mengambil tarikat daripada Sayyidina Ahmad as-Sughuri (q).

Sayyidina Ahmad as-Sughuri memberikan nasihat kepada mereka, kemudian beliau memanggil Abu Muhammad al-Madani, memberikannya bai’ah dalam Tarikat Naqshbandi dan menanamkan zikir pada lidahnya. Beliau tidak memberikan apa-apa kepada Hajji Murtaza dan Hajji Nuri. Beliau memberitahu mereka, “Aku telah menyerahkan rahsia itu kepada Abu Muhammad al-Madani. Tiada keperluan mengambil rahsia itu daripadaku. Ambillah ia daripadanya. Sesiapa yang ingin mengambil tarikatku boleh mengambilnya melalui Abu Muhammad al-Madani.” Mereka merungut di dalam hati mereka, “Mengapa Ahmad as-Sughuri meletakkan Abu Muhammad al-Madani sebagai perantara di antara kami?”

Pada suatu hari berlaku kemarau di perkampungan mereka. Penduduk kampung meminta mereka melalui perkampungan Abu Muhammad al-Madani untuk meminta beliau berdoa kepada Allah menurunkan hujan. Dalam perjalanan menemui beliau, mereka berkata kepada diri sendiri, “Kita akan tahu sekarang sama ada beliau benar-benar seorang wali dan mengapa Sayyidina Ahmad as-Sughuri meletakkan beliau mendahului kita.” Dalam perjalanan mereka melalui sebuah rumah, dan melihat seorang wanita cantik di dalamnya. Mereka begitu tertarik dengan kecantikan wanita itu sehingga mereka berdiri memandangnya untuk masa yang lama. Akhirnya mereka tiba di rumah Abu Muhammad dan mengetuk pintu.

Dari dalam, beliau berkata, “Siapa di pintu?” Mereka bercakap sesama sendiri dengan suara perlahan berkata, “Bagaimanakah beliau boleh menjadi seorang Syeikh sedangkan beliau tidak tahu siapa di pintu rumahnya?” Mereka mengetuk sekali lagi, tetapi tiada jawapan. Kemudian dari sebalik pintu kedengaran suaranya, “Hajji Murtaza dan Hajji Nuri, adalah mudah bagi seseorang menjadi Syeikh dan pembimbing tanpa mengetahui siapa di sebalik pintu, tetapi adalah sangat sukar bagi seseorang yang menjadi Syeikh dan pembimbing untuk mengikut hawa nafsunya dengan cara yang tidak boleh diterima, memandang wanita mendedahkan aurat.” Beliau berkata kepada mereka, “Aku tidak boleh membenarkan kamu masuk ke dalam rumahku.”

Dalam keadaan tergesa-gesa mahu pergi, mereka lupa memberitahu tujuan asal mereka datang untuk memohon doa hujan. Selepas lima minit beliau keluar berlari mengejar mereka dan memberitahu mereka, “Mengenai apa yang kamu datangkan, sebaik sahaja kamu sampai ke perkampungan kamu ia akan turun hujan.” Sebaik sahaja mereka sampai ke perkampungan itu, awan berkumpul dan hujan turun dengan lebat.

Jihad Beliau

Pihak Rusia sangat gerun terhadap beliau dan kuasa mukjizatnya sehingga mereka membawa beliau ke Siberia dengan niat untuk membunuhnya. Beliau berjaya membebaskan diri dan melarikan diri ke Turki. Penduduk Daghestan mengingati dengan baik bagaimana beliau menentang pihak Rusia dengan gigih, dari segi fizikal mahupun kerohanian. Malah pihak Rusia sendiri sering memperkatakan tentang keberanian dan mukjizat kerohanian beliau. Banyak peristiwa yang diketahui mengenai beliau telah direkodkan oleh musuh-musuhnya.

Pada suatu masa beliau sedang menentang pihak Rusia, sehinggalah mereka menyerangnya dengan kekuatan yang amat ramai. Beliau melarikan diri ke sebuah rumah, dan tiada siapa yang tahu beliau berada di situ. Seorang wanita melihatnya dari atas bumbung rumahnya. Wanita itu memberitahu pihak Rusia, “Muhammad al-Madani berada di dalam rumah itu.” Mereka datang untuk menangkapnya. Mereka mendapati rumah tempat beliau bersembunyi dikelilingi oleh rumput hijau kerana berkat kehadiran beliau, walaupun akibat cuaca panas musim panas tiada tumbuh-tumbuhan hijau kelihatan di tempat lain. Berkat maklumat yang diberikan oleh wanita itu, mereka berjaya menangkapnya. Pada malam itu wanita tersebut jatuh sakit tenat, dan pada keesokan harinya beliau meninggal dunia. Sepertimana firman Allah Yang Maha Agung lagi Maha Kuasa kepada Nabi dalam Hadis Qudsi, “Sesiapa yang memusuhi salah seorang wali-Ku, Aku akan mengisytiharkan perang terhadapnya.”

Penahanan Rumah dan Kisah Pemuda dari Sartar

Mereka meletakkannya di bawah tahanan rumah, dan memberitahunya bahawa beliau boleh pergi ke restoran berdekatan untuk makan. Beliau enggan makan di restoran mereka dan tidak pernah menjamah makanan mereka, sambil berkata, “Kamu adalah musuhku dan aku tidak akan sekali-kali makan makanan kamu.” Beliau tidak makan makanan mereka selama berbulan-bulan, dan mereka tidak tahu bagaimana beliau meneruskan kelangsungan hidup. Akhirnya seseorang datang dari negeri Sartar, berkata kepada gabenor, “Jika beliau tidak makan makanan kamu, serahkan dia kepada aku, aku akan membawanya ke negaraku untuk menjaganya.” Mereka menghantarnya ke sana.

Terdapat seorang pemuda dari Kikunu yang sedang menuntut di Bukhara yang bertunang dengan seorang gadis dari Sartar. Beliau telah pergi selama bertahun-tahun dan tidak pulang. Dalam pada itu, gadis tersebut telah memutuskan untuk berkahwin dengan orang lain. Berita ini sampai ke Bukhara, tempat pemuda itu mendengarnya. Beliau sangat kecewa. Malam itu, sebelum beliau terlena, beliau mendengar satu suara berkata, “Pulanglah ke Sartar. Pulanglah ke Sartar.” Beliau mendengar suara itu pada malam berikutnya dan hari berikutnya. Beliau memutuskan untuk pulang. Beliau merentasi perjalanan yang sangat jauh, hampir ke Moscow, untuk sampai ke Sartar. Beliau berjalan dan terus berjalan sehingga akhirnya tiba di perkampungan itu.

Beliau mendapati orang ramai berkumpul di satu tempat, membawa makanan. Mereka memberitahunya, “Seorang Syeikh yang agung telah datang ke Sartar dari Kikunu, dan beliau menyembuhkan orang ramai serta memberi makan kepada orang miskin. Kami amat tertarik dengan kuasa kerohaniannya sehingga kami semua telah menjadi pengikutnya. Mari bersama kami untuk melihatnya.” Beliau pergi bersama mereka. Penduduk kampung berkata kepada Syeikh, iaitu Sayyidina Abu Muhammad al-Madani, “Tuan mungkin akan dibawa pergi oleh pihak Rusia. Sila tinggalkan seseorang di sini yang diberi keizinan membimbing kami dalam tarikat.” Apabila pemuda itu tiba di rumah Syeikh, Syeikh memberitahu beliau dengan suara yang sama yang didemarinya di Bukhara, “Wahai anakku, kamu mendengar mesej kami, kamu mendengar suara kami. Mari! Kamu akan menjadi wakilku dan kamu akan mengajar orang-orang ini apa yang mereka perlukan mengenai kerohanian dan kewajipan agama. Dan kamu akan berkahwin dengan tunang kamu.” Pemuda itu sangat gembira. Beliau mengambil bai’ah daripada Syeikh dalam Tarikat Naqshbandi dan lima tarikat yang lain. Shaykh Abu Muhammad al-Madani mengahwinkan beliau dengan tunangnya.

Ini adalah kurniaan mukjizat bagi bandar Sartar, daripada Abu Muhammad al-Madani. Ia juga merupakan tanda bahawa hari-hari beliau di Sartar telah hampir ke penghujungnya. Keesokan harinya, pihak Rusia datang untuk membawanya ke Siberia. Beliau dikunci di dalam penjara keselamatan tinggi. Walaupun mereka menguncinya di dalam bilik, mereka sering mendapatinya berada di halaman, solat, duduk, atau membaca. Pengawal terkejut dan membawanya kembali. Kemudian selepas beberapa jam mereka mendapatinya di luar lagi. Jadi mereka merantaunya pada dinding. Namun mereka tetap mendapatinya di luar bilik, berjalan bersama seseorang. Kemudian beliau memberitahu orang ramai, “Aku sedang berjalan bersama Sayyidina Khidr (as).” Mereka merantaunya semula dan sekali lagi mendapatinya di luar sel. Mereka sangat benci sehingga menulis surat kepada Moscow meminta nasihat tentang cara mengawal beliau. Moscow memberitahu mereka, “Letakkan dia di bawah tanah dalam penjara yang sangat dalam.” Mereka cuba melakukannya, tetapi tidak kira sejauh mana ke bawah mereka meletakkannya, beliau sentiasa didapati berada di luar selnya. Akhirnya mereka begitu putus asa dengan pelariannya sehinggalah mereka membenarkan beliau bebas bergerak di dalam sempadan Rusia. Niat beliau adalah untuk melarikan diri ke Turki.

Apabila mereka membiarkannya bebas di Siberia, beliau melihat seorang pegawai dan memberitahunya, “Wahai anakku, aku akan melihat kamu di Istanbul, Turki. Kita akan berjumpa di sana.” Selepas itu pemuda tersebut jemu berkhidmat dalam Tentera Rusia lalu melarikan diri. Bersama keluarganya beliau melarikan diri ke Turki, dan berakhir di Istanbul. Di sana beliau bertemu dengan Shaykh Abu Muhammad al-Madani, sepertimana yang telah diramalkan oleh Syeikh.

Sayyidina Muhammad al-Madani memutuskan untuk melalui tanah airnya di Kaukasus untuk menziarahi ibu bapa dan keluarganya dalam perjalanan ke Turki.