Abul Abbas al-Khidr alayhi-s-salam

Abul Abbas al-Khidr alayhi-s-salam

Sayyidina Abul Abbas al-Khidr (as)

(Selawat dan Salam Allah ke atas baginda)

“Sesiapa yang memasuki Jalan ini tanpa seorang pembimbing,

akan mengambil masa seratus tahun untuk mengembara perjalanan dua hari.

Nabi bersabda, ‘Dalam Jalan ini,

kamu tidak mempunyai teman yang lebih setia daripada amal perbuatanmu.’

Bagaimanakah amal perbuatan ini dan pencarian di jalan kebenaran ini

dapat dicapai tanpa seorang master, wahai bapa?

Adakah kamu boleh mengamalkan profesion yang paling hina di dunia

tanpa bimbingan seorang master?

Sesiapa yang menceburi sesuatu profesion tanpa seorang master

akan menjadi bahan ketawa di bandar dan pekan.”

— Mawlana Jalaluddin Muhammad Balkhi (Rumi), Mathnavi

Abul ‘Abbas ialah Khidr, yang Allah sebutkan di dalam al-Quran Suci sebagai hamba Allah yang menemui Nabi Musa.

فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا

18:65 – “Fawajada ‘abdan min ‘ibadinaa ataynahu rahmatan min ‘indina wa ‘allamnahu mil ladunna ‘ilma” (Surat al-Kahf)

“Lalu mereka berdua mendapati seorang hamba dari hamba-hamba Kami, yang Kami telah kurniakan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan Kami telah mengajarkan kepadanya ilmu [ghaib/surgawi] dari sisi Kami…” (Al-Quran, Al-Kahf 18:65)

Khidr (as) memelihara dan mengekalkan Hakikat Rantaian Emas sehingga pautan seterusnya dalam Rantaian tersebut, Abdul Khaliq al-Ghujdawani, dapat mengambil alih stesen yang ditakdirkan untuknya.

Mengapakah beliau dipanggil Khidr (Lelaki Hijau)?

Imam Bukhari meriwayatkan di dalam Kitab Para Nabi; bahawa Nabi bersabda, “Al-Khidr (‘Lelaki Hijau’) dinamakan sedemikian kerana beliau pernah duduk di atas sebidang tanah putih yang tandus, selepas itu tanah tersebut menjadi hijau subur dengan tumbuh-tumbuhan.”

Peranan penting Khidr sebagai seorang murshid (pembimbing) bagi para wali dapat digambarkan melalui kepentingan peranan beliau sebagai murshid bagi para nabi, khususnya bagi Nabi Musa.

Kisah Nabi Musa (as) Menemui Khidr (as)

Musa adalah seorang nabi yang sangat berkuasa, salah seorang daripada lima nabi teragung yang Allah utuskan ke dunia ini: Nuh, Ibrahim, Musa, Isa, dan Muhammad, Selawat dan salam ke atas mereka semua. Namun di disebalik ilmu Musa yang tinggi, Allah menjadikan beliau berhajat kepada Khidr, walaupun Khidr bukanlah seorang nabi. Ini adalah untuk mengajar kita, sebagaimana Allah firmankan di dalam al-Quran Suci, bahawa “Di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi yang lebih mengetahui” (Yusuf, 12:76).

نَرْفَعُ دَرَجَاتٍ مَّن نَّشَاءُ وَفَوْقَ كُلَّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ

12:76 – “… Narfa’u darajatin man nashao, Wa fawqa kulli dhee ‘ilmin ‘aleem.” (Surat Yusuf)

“… Kami angkatkan darjat sesiapa yang Kami kehendaki; dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu, ada lagi yang lebih mengetahui.” (Al-Quran, Yusuf)

Kisah pertemuan Musa dengan Khidr diceritakan di dalam Surat al-Kahf (Al-Quran 18:65-82) dan bermula begini: Musa dan pelayannya mendapati seorang hamba Allah yang Allah muliakan dengan keistimewaan tersendiri dan telah mengajarkan kepadanya ilmu dari sisi-Nya. Musa berkata kepadanya, “Aku ingin mendampingimu.” Beliau menjawab: “Kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar menyertai daku.”

Musa terkejut dan menegaskan bahawa beliau sanggup berbuat demikian. Khidr berkata: “Kamu tidak akan sanggup, tetapi jika kamu mengikutiku, janganlah kamu bertanya tentang sesuatu yang aku lakukan walau apa pun yang kamu lihat aku lakukan. Dengan syarat itu sahaja kamu boleh mengikutiku; tetapi jika kamu ingin bertanya soalan, jangan ikuti daku.” Ini bermakna Khidr akan melakukan sesuatu yang tidak akan difahami oleh Musa, walaupun beliau adalah seorang Utusan bagi agama yang agung. Beliau berhajat kepada Khidr untuk mengajar beliau sesuatu.

Tiga Ujian ke atas Musa (as)

  1. Melubangkan Perahu (Bot)
    Mereka menaiki sebuah perahu dan menyeberangi Sungai Tiberias di Palestin. Apabila mereka sampai di tengah sungai, Khidr membuat lubang pada perahu itu supaya ia tenggelam. Musa tidak dapat menahan diri daripada berdiam diri, lalu berkata: “Mengapakah kamu melakukan perbuatan kebudak-budakan ini? Orang-orang itu telah memberikan perahu ini kepada kamu, adakah kini kamu hendak menenggelamkannya?” Khidr menjawab: “Bukankah aku telah katakan bahawa kamu tidak akan sanggup bersabar menyertai daku?” Musa masih belum memahami, walaupun beliau adalah seorang nabi dan boleh membaca hati, bahawa terdapat sesuatu yang sedang berlaku yang beliau tidak ketahui.
  2. Membunuh Budak Nakal
    Mereka meneruskan perjalanan dan menemui seorang kanak-kanak lelaki. Sebaik sahaja mereka melihatnya, Khidr membunuhnya. Musa berkata: “Apa yang kamu lakukan? Kamu telah melubangkan perahu, dan kini kamu membunuh seorang kanak-kanak? Ini bertentangan dengan semua undang-undang!” Sekali lagi Khidr berkata: “Bukankah aku telah katakan kepadamu bahawa kamu tidak boleh bersabar menyertai daku? Kali ketiga kamu bertanya kepada ku, kita akan berpisah jalan.”
  3. Membina Semula Tembok
    Kemudian mereka sampai ke sebuah bandar di mana mereka meminta makanan. Tiada siapa pun yang memberi mereka sebarang makanan, malah mereka menghalau mereka keluar. Dalam perjalanan, mereka menemui sebuah tembok yang hampir runtuh. Khidr membina semula tembok itu dan menegakannya. Musa bertanya: “Mengapakah kamu melakukan ini? Tiada siapa pun yang menerima kita sebagai tetamu di bandar ini, namun kamu membina tembok mereka secara percuma?” Khidr berkata: “Inilah masanya kita berpisah, kerana kamu tidak memahami hikmah di disebalik apa yang aku lakukan.”

Penafsiran Tiga Ujian Tersebut

“Wahai Musa, apa yang kami lakukan adalah apa yang Allah perintahkan kepada kami untuk lakukan. Pertama, aku melubangkan perahu ini kerana terdapat seorang raja zalim yang merampas setiap perahu daripada orang-orang miskin di sebelah bandar ini. Agar orang-orang ini tidak kehilangan perahu mereka, aku melubangkannya. Raja zalim itu akan mati esok, dan esok mereka boleh mendapatkan semula perahu mereka dan menggunakannya dengan selamat. Aku membunuh kanak-kanak itu kerana Allah tidak mahu kanak-kanak itu menyebabkan ibu bapanya, yang beriman kepadamu, terpesong dan lari daripada agamamu. Allah akan mengurniakan kepada mereka anak-anak yang lebih baik daripada anak itu. Aku membina semula tembok itu yang kepunyaan seorang lelaki yang semasa hidupnya sangat dermawan kepada golongan miskin. Apabila beliau meninggal dunia, beliau meninggalkan harta karun yang ditanam di bawah tembok itu untuk dua orang anaknya yang yatim. Sekiranya tembok itu runtuh, orang ramai akan melihat harta karun itu dan mengambilnya. Aku memulikannya semula agar dua kanak-kanak itu dapat menerima harta karun mereka kelak. Kamu tidak memahami hikmah Allah.”

Begitulah halnya dengan Musa yang, dengan segala kemuliaan yang dikurniakan kepadanya oleh Allah, mendapati dirinya tidak tahu apa-apa di hadapan Khidr. Bagaimanakah kita, yang mengetahui begitu sedikit jika dibandingkan dengan Musa, boleh menganggap diri kita berilmu jika Musa sendiri, dengan segala ilmunya di dalam Kehadiran Ilahi, tidak mampu memahami perkara-perkara tertentu? Ini adalah satu pengajaran tentang sifat tawaduk (rendah diri) bagi manusia, dan khususnya bagi para sarjana dan pemimpin agama: “Ilmu kamu tidak layak untuk disebut-sebut. Terdapat orang lain yang jauh lebih berilmu daripada kamu. Seberapa tinggi atau seberapa dalam kamu mengembara ke dalam ilmu, terdapat kedalaman yang lebih dalam dan ketinggian yang lebih tinggi daripada tempat kamu berdiri.”

Oleh itu, apabila seseorang duduk untuk memberi nasihat, dia mesti duduk dengan kerendahan hati yang penuh dan penghormatan yang penuh terhadap pendengar. Dia tidak boleh menganggap dirinya lebih tinggi daripada mereka, jika tidak, cahaya itu tidak akan pernah sampai ke hati mereka. Itulah juga sebabnya mengapa setiap orang berhajat kepada seorang pembimbing, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Pembimbing kepada segala pembimbing sendiri, iaitu Nabi SAW, apabila baginda mengambil Jibril sebagai pembimbing untuk Wahyu, dan apabila baginda mengambil seorang penunjuk jalan semasa berhijrah ke Madinah.

Penjelasan Ibn Arabi mengenai Tiga Ujian

Beginilah cara Ibn Arabi (q) di dalam Fusus al-Hikam menjelaskan tiga perbuatan Khidr disaksikan oleh Musa:

“Musa telah diuji ‘dengan pelbagai ujian’ yang pertama daripadanya adalah pembunuhan terhadap orang Mesir [28:14-15], satu perbuatan yang dilakukannya atas dorongan Ilahi dan dengan keredaan Allah di lubuk hatinya, tanpa baginda sedari; namun baginda tidak merasa sebarang dukacita di dalam jiwanya kerana membunuh orang Mesir itu, walaupun baginda sendiri tidak dibebaskan sehinggalah baginda menerima wahyu Ilahi mengenai perkara tersebut. Kerana semua nabi dipelihara secara batin daripada dosa tanpa mereka sedari, bahkan sebelum mereka diberi amaran melalui ilham.

Oleh sebab itulah al-Khidr memperlihatkan kepada beliau tindakan mematikan kanak-kanak lelaki itu, satu perbuatan yang dicela oleh Musa, tanpa mengingat kembali pembunuhan orang Mesir yang dilakukannya, yang lantas al-Khidr berkata kepadanya: ‘Aku tidak melakukannya atas inisiatif ku sendiri,’ dengan itu mengingatkan Musa tentang keadaannya dahulu, di mana baginda, yang kemudiannya mendapati dirinya tidak tahu bahawa dia pada hakikatnya terpelihara daripada sebarang perbuatan yang bertentangan dengan Perintah Ilahi.

Beliau juga memperlihatkan kepadanya perbuatan melubangkan perahu, yang kelihatan seolah-olah dilakukan untuk membinasakan manusia, namun ia mempunyai makna tersembunyi iaitu menyelamatkan mereka daripada tangan ‘seorang yang ganas.’ Beliau memperlihatkan perkara ini kepadanya sebagai analogi kepada peti (tabut) yang menyembunyikan Musa ketika beliau dicampakkan ke dalam Sungai Nil; mengikut zahirnya, perbuatan ini sama-sama untuk membinasakannya, tetapi mengikut makna tersembunyinya, ia adalah untuk menyelamatkannya. Begitu juga ibunya telah melakukan perkara itu kerana takutkan ‘orang yang ganas’ itu, dalam kes ini Firaun, supaya baginda tidak membunuh kanak-kanak itu dengan kejam…

Musa kemudian tiba di Madyan, di sana menemui dua orang wanita dan membawakan air dari telaga untuk mereka, tanpa meminta sebarang upah daripada mereka. Kemudian baginda ‘berteduh di bawah naungan, iaitu naungan Ilahi, dan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku”; oleh itu baginda menyandarkan hakikat kebaikan yang dilakukannya kepada Allah semata-mata dan menyifatkan dirinya sebagai orang fakir (sangat berhajat) kepada Allah. Oleh sebab itulah al-Khidr membina semula tembok yang hampir runtuh di hadapannya tanpa meminta sebarang upah atas kerjanya itu, yang karenanya Musa menegurnya, sehinggalah Khidr mengingatkan beliau tentang perbuatannya menimba air tanpa meminta sebarang balasan, dan perkara-perkara lain juga, yang tiada sebutannya di dalam al-Quran; supaya Utusan Allah — semoga Allah melimpahkan selawat dan salam ke atas baginda! — merasa menyesal kerana Musa tidak berdiam diri dan tidak kekal bersama al-Khidr, supaya Allah dapat menceritakan lebih banyak lagi tentang perbuatan mereka.”

Kata-kata Khidr kepada Sahl at-Tustari (q) menurut Ibn Arabi:

“Allah menciptakan Cahaya Muhammad daripada Cahaya-Nya… Cahaya ini tinggal di hadapan Allah selama 100,000 tahun. Allah mengarahkan Pandangan-Nya ke atasnya 70,000 kali pada setiap siang dan malam, menambahkan kepadanya cahaya baharu daripada Cahaya-Nya pada setiap kali. Kemudian, daripada Cahaya itulah, Dia menciptakan seluruh makhluk.”

Apabila Nabi meninggalkan dunia ini dan ucapan takziah disampaikan, mereka mendengar satu suara dari sudut rumah berkata, “Keselamatan, rahmat Allah dan keberkatan-Nya ke atas kamu, wahai ahli Bait Nabi!” `Ali (ra) kemudian bertanya sama ada mereka tahu siapakah ini, dan beliau berkata ia adalah Khidr.

Bayhaqi meriwayatkannya di dalam Dala’il an-Nubuwwa.

Artikel berkaitan oleh Mawlana Shaykh Nurjan Mirahmadi:

  • Tiga Ujian yang mencerminkan kehidupan Musa (as), Kisah Musa (as) dan Khidr (as)
  • Jadilah Bulan & Ikuti Matahari – Walaupun kamu adalah Nabi Musa (as)
  • Cara Mendampingi ‘Ibadullah – yang telah diajar oleh Allah