Mawlana Abul Hassan Ali al-Kharqani, qaddasa-l-Lahu sirrah

Mawlana Abul Hassan Ali al-Kharqani, qaddasa-l-Lahu sirrah

29 Ogos 2012

14.3K 45

Abul Hasan al-Kharqani

Abul Hasan Ali ibn Jafar al-Kharqani merupakan Syafa’at Agung (Arch-Intercessor) pada zamannya dan unik dalam kedudukannya. Beliau menjadi tumpuan perhatian kaumnya dan sebuah lautan ilmu yang daripadanya para wali masih menerima gelombang cahaya dan ilmu kerohanian.

Semoga Engkau berkenan menjadi kemanisan

dan biarkanlah kehidupan ini menjadi pahit!

Sekiranya Engkau redha, apa pedulinya jika manusia murka.

Biarkan segala-galanya di antara aku dan Engkau menjadi subur,

Antara dunia-dunia dan aku, biarkan semuanya menjadi padang pasir!

Sekiranya cinta-msu terjamin, semuanya menjadi mudah,

Kerana segala sesuatu di bumi ini hanyalah tanah.

— Tidak Dikenali

Abul Hasan Ali ibn Jafar al-Kharqani membuktikan dirinya sebagai telaga ilmu yang mendalam bagi para pengikut dan penyokongnya. Beliau mengosongkan dirinya daripada segala-galanya kecuali Keesaan Allah, menolak untuk dirinya segala gelaran dan cita-cita. Beliau tidak mahu dikenali sebagai pengikut kepada mana-mana ilmu, malahan ilmu kerohanian sekalipun, dan beliau berkata:

“Aku bukanlah seorang sami pertapa. Aku bukanlah seorang zahid. Aku bukanlah seorang penceramah. Aku bukanlah seorang Sufi. Ya Allah, Engkau adalah Maha Esa, dan aku adalah satu di dalam Keesaan-Mu.”

Mengenai ilmu dan amal, beliau berkata:

“Para ulama dan hamba di dunia yang rendah ini adalah ramai tetapi mereka tidak memberi manfaat kepada kamu melainkan jika kamu terlibat dalam mencari keredaan kehendak Allah dan dari pagi hingga malam disibukkan dengan amalan-amalan yang diterima oleh Allah.”

Mengenai erti menjadi seorang Sufi, beliau berkata:

“Sufi bukanlah orang yang sentiasa membawa tikar solat, bukanlah orang yang memakai pakaian bertompok (tambal), bukanlah orang yang menjaga adat istiadat dan penampilan tertentu, tetapi Sufi adalah orang yang kepada dirikannya tumpuan semua orang ditarik, walaupun dia menyembunyikan dirinya. Sufi adalah orang yang pada siang hari tidak memerlukan matahari, pada malam hari tidak memerlukan bulan. Hakikat Sufisme adalah ketiadaan mutlak (nonexistence) yang tidak memerlukan kewujudan kerana tiada kewujudan selain daripada kewujudan Allah.”

Beliau ditanya tentang kejujuran (truthfulness). Beliau berkata:

“Kejujuran adalah menyuarakan apa yang ada di dalam nurani kamu.”

Mengenai hati, beliau berkata:

“Apakah perkara yang paling baik? Hati yang sentiasa dalam zikrullah (mengingati Allah). Sebaik-baik hati adalah hati yang tidak mengandungi apa-apa melainkan Kehadiran Allah, Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi.”

“Hari ini genaplah empat puluh tahun Allah telah melihat ke dalam hatiku dan tidak melihat apa-apa melainkan Diri-Nya sendiri. Tiada apa-apa di dalam hatiku melainkan Allah selama empat puluh tahun. Walaupun nafsuku meminta air sejuk dan seteguk susu, aku tidak membenarkannya selama empat puluh tahun demi mengawal diriku.”

“Penglihatan dengan mata kepala tidak mendatangkan kebahagiaan, tetapi penglihatan dengan mata hati dan rahsia yang Allah kurniakan kepada roh akan mengeluarkan kebahagiaan itu.”

Mengenai Bayazid, beliau berkata:

“Apabila Abu Yazid berkata, ‘Aku tidak mahu menginginkan’ itulah sebenarnya keinginan yang merupakan hasrat yang sebenar.”

Beliau ditanya, “Siapakah orang yang layak untuk berbicara tentang fana’ (annihilation) dan baqa’ (subsistence)?” Beliau menjawab:

“Itulah ilmu bagi orang yang keadaannya seperti seseorang yang digantung dengan sehelai benang sutera dari langit ke bumi apabila satu angin taufan besar datang dan membawa semua pokok, rumah, dan gunung lalu mencampakkan mereka ke dalam lautan sehingga ia memenuhi lautan. Sekiranya angin taufan itu tidak mampu menggoncang orang yang bergayut pada benang sutera itu, maka dialah orang yang layak berbicara tentang fana’ dan baqa’.”

Pada suatu hari Sultan Mahmud al-Ghazni menziarahi Abul Hasan dan meminta pandangannya tentang Bayazid al-Bistami. Beliau berkata, “Sesiapa yang mengikut Bayazid pasti akan mendapat petunjuk. Sesiapa yang melihatnya dan merasai cinta terhadapnya di dalam hatinya akan mencapai kesudahan yang bahagia.” Mendengar itu Sultan Mahmud berkata, “Bagaimanakah itu mungkin sedangkan Abu Jahl melihat Nabi SAW dan dia tidak dapat mencapai kesudahan yang bahagia malah berakhir dalam kesengsaraan?”

Beliau menjawab, “Itu kerana Abu Jahl tidak melihat Nabi SAW tetapi dia melihat Muhammad ibn Abd Allah SAW. Dan kalaulah dia melihat Utusan Allah SAW nescaya dia akan beralih daripada kesengsaraan kepada kebahagiaan. Sebagaimana firman Allah, ‘Dan engkau melihat mereka memandang kepada engkau, padahal mereka tidak melihat.’ (7:198)”

Beliau meneruskan dengan kata-kata yang telah disebutkan tadi, “Penglihatan dengan mata kepala…”

Antara kata-kata beliau yang lain:

  • “Pohonlah kesusahan agar air mata dapat mengalir kerana Allah sangat mencintai orang-orang yang menangis (merujuk kepada nasihat Nabi SAW supaya banyak menangis).”
  • “Walau dengan cara apa pun kamu memohon kepada Allah tentang sesuatu, al-Quran tetap merupakan cara yang terbaik. Jangan memohon kepada Allah melainkan melalui al-Quran.”
  • “Pewaris Nabi SAW adalah sesiapa yang mengikut jejak langkah baginda dan tidak pernah meletakkan noda hitam di dalam Buku Amalnya.”

Grandsyekh Abul Hasan al-Kharqani (QS) meninggal dunia pada hari Selasa, 10 Muharram pada tahun 425 Hijrah / 1033 Masihi. Beliau dimakamkan di Kharqan, sebuah perkampungan di bandar Bistam di Iran. Beliau menurunkan rahsia Rantaian Emas kepada Abu Ali al-Fadl ibn Muhammad al-Farmadi Tusi.