Ali ar-Ramitani, qaddasa-l-Lahu sirrah

Ali ar-Ramitani, qaddasa-l-Lahu sirrah

Ali ar-Ramitani

Semoga Allah Mensucikan Rohnya

“Tiada perkara seperti hati yang hancur berpaling daripada daku kepada-Mu;

Sebenarnya, daripada daku kepada-Mu, semua sel dalam tubuhku adalah hati.”

— Abu Bakr ash-Shibli.

Beliau ialah Panji Mulia Islam dan seorang ulama besar yang membuka kunci kepada perbendaharaan hati dan menghuraikan rahsia-rahsia daripada Alam Ghaib. Beliau menerima, daripada Kerajaan Ahli Makrifat, Kurniaan, Anugerah, dan Penghormatan. Beliau membimbing golongan yang memerlukan kepada stesen Ilmu Kerohanian. Namanya terbang tinggi di langit Petunjuk, dan tiada kata-kata yang dapat menyatakan ilmunya mahupun keadaannya. Bagi kita, beliau boleh digambarkan, seperti Ummul Kitab (Al-Quran Al-Karim), sebagai “seseorang yang tertulis dalam kedudukan yang tinggi.”

Beliau dilahirkan di perkampungan Ramitan, dua batu dari Bukhara. Beliau tinggal di situ, dan tekun mempelajari ilmu Syariah (undang-undang Ilahi), sehinggalah beliau mencapai ketenaran dalam Ilmu Hadis, Al-Quran, Fikah, dan Jalan Teladan Nabi (Sunnah). Beliau menjadi tempat rujukan (marja) bagi sesiapa sahaja yang meminta keputusan hukum (fatwa).

Kemudian beliau menghubungi Syeikh Mahmoud al-Anjir al-Faghnawi untuk mendapatkan bimbingan kerohanian. Di hadapan Syeikh, beliau diangkat naik ke stesen-stesen tinggi Manifestasi Cinta Ilahi dan Kehadiran Ilahi. Beliau dikenali dan menjadi terkenal dengan gelaran Azizan, sepatah perkataan dalam bahasa Parsi yang digunakan untuk seseorang yang berkedudukan tinggi. Berikut adalah sebahagian daripada banyak kata-kata hikmah beliau.

  • “Lakukanlah dan jangan hitung.”
  • “Akui kekurangan diri kamu dan teruskan amal.”
  • “Capailah kehadiran Ilahi, terutamanya ketika kamu sedang makan dan ketika kamu sedang bercakap.”
  • “Allah Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi berfirman di dalam Kitab Suci-Nya, ‘Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya.’ Ayat ini membawa khabar gembira kepada kita. Memandangkan Allah meminta taubat, ini bermakna Dia akan menerimanya, kerana jika Dia tidak mahu menerima taubat kamu, Dia tidak akan menyuruh kamu melakukan taubat.”
  • “Nabi bersabda, ‘Allah melihat ke dalam hati orang Mukmin pada setiap malam dan siang sebanyak 360 kali. Ini bermakna hati mempunyai 360 pintu masuk. Dan setiap anggota mempunyai 360 akar, kesemuanya berhubung dengan hati. Jadi jika hati, di bawah pengaruh Zikrullah, dibawa ke stesen Pandangan Allah, ini akan membawa semua anggota tubuh kepada Pandangan Allah. Hasilnya, setiap anggota akan taat kepada Allah dan daripada cahaya ketaatan itu setiap anggota akan berhubung dengan Limpahan Ilahi. Inilah yang menarik Pandangan Rahmat daripada Allah ke hati orang yang berzikir.'”

Kontroversi Lanjutan Mengenai Zikir Suara Kuat

Mawlana Sayfuddin Fidda, seorang ulama besar pada zamannya, bertanya kepada beliau, “Mengapakah kamu mengangkat suara kamu dalam Zikir?” Syeikh Ali (q) berkata:

“Wahai saudaraku, para ulama Islam merentasi zaman, dari zaman Tabi’in (generasi selepas para Sahabat) sehinggalah hari ini, telah mengharuskan zikir suara kuat pada saat-saat akhir kehidupan. Pada masa ini mereka yang berada berhampiran orang yang sedang nazak menggalakkan beliau mengulangi kalimah syahadah. Nabi bersabda, laqqina mawtakum shahadatan LA ILAHA ILLALLAH (‘ajarilah orang yang hampir mati di kalangan kamu mengucap La ilaha illallah‘). Dalam Ilmu Sufisme, para ulama telah menekankan bahawa setiap saat mungkin merupakan saat terakhir kamu. Ini membawa kepada kesimpulan bahawa kamu boleh mengucap LA ILAHA ILLALLAH dengan suara yang kuat pada setiap saat dalam kehidupan kamu.”

Beliau ditanya oleh Syeikh Mawlana Badruddin al-Midani, yang merupakan seorang ulama besar pada zamannya, “Allah telah memerintahkan kita di dalam Al-Quran supaya melakukan zikir yang banyak dengan firman-Nya, ‘Ingatilah Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya’. Adakah zikir itu dilakukan dengan lidah atau dengan hati?” Syeikh Ali Ramitani (q) menjawab:

“Bagi pemula adalah lebih baik ia dilakukan dengan lidah, dan bagi salik yang mahir (adept) adalah lebih baik ia dilakukan dengan hati.” Beliau menyambung, “Ini kerana bagi seorang pemula untuk mengingati Allah dia mesti mengerahkan usaha yang banyak. Memandangkan hatinya terganggu dan tidak stabil serta usahanya berselerak, adalah lebih baik baginya melakukannya dengan lidah. Tetapi orang yang mahir telah pun menggilap hatinya dan mudah terkesan oleh zikir. Semua anggotanya menjadi orang yang berzikir sehinggakan seluruh tubuh orang yang mahir itu, baik secara zahir mahupun batin, mengingati Allah pada setiap detik. Persamaan bagi hal ini ialah zikir sehari bagi orang yang mahir adalah sama dengan zikir setahun bagi seorang pemula.”

Beliau menyambung:

  • “Tugas seorang pembimbing adalah pertama sekali mengenali keupayaan pencari.”
  • “Kemudian dia akan meletakkan pada lidahnya kaedah zikir yang paling sempurna untuk mengangkatnya ke stesen yang paling tinggi.”
  • “Kalaulah ada di muka bumi ini seorang daripada pengikut Abdul Khaliq al-Ghujdawani pada zaman Hallaj, Hallaj tidak akan sekali-kali disalib.” Ini bermakna akan ada seseorang yang mampu membela beliau daripada tuduhan orang-orang yang bodoh.

Syeikh Fakhruddin an-Nuri, seorang lagi ulama terkenal pada zamannya, bertanya kepada beliau, “Allah menyebutkan di dalam Al-Quran bahawa pada Hari Perjanjian Dia bertanya, Alastu bi Rabbikum, qala bala [7:172] (‘Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar!’), manakala pada Hari Kiamat Dia akan bertanya, liman al-mulk ul-yawm (‘kepunyaan siapakah Kerajaan pada hari ini?’) dan tiada sesiapa pun yang akan menjawab. Mengapakah mereka menjawab soalan, ‘Bukankah Aku Tuhan kamu?’ manakala pada Hari Kiamat mereka tidak akan menjawab?” Dalam jawapannya, Syeikh Ali Ramitani (q) menunjukkan kedalaman pemahaman yang luar biasa terhadap Al-Quran dan Hadis Sahih yang dimiliki oleh para Master Naqshbandi. Beliau berkata:

“Apabila soalan pertama, ‘Bukankah Aku Tuhan kamu?’ dikemukakan kepada umat manusia, ia adalah hari Allah meletakkan kewajipan Syariat kepada semua manusia. Menjawab apabila ditanya sesuatu soalan adalah satu kewajipan di bawah Syariat. Itulah sebabnya mereka menjawab soalan tersebut. Walau bagaimanapun pada Hari Kiamat, segala kewajipan telah pun berakhir, dan pada masa itu, kesedaran tentang Hakikat dan alam kerohanian bermula. Dalam kerohanian tiada ucapan yang lebih baik daripada diam, kerana kerohanian adalah aliran dari dan ke hati yang tiada kaitan dengan lidah. Itulah sebabnya untuk soalan kedua tiada keperluan untuk memberikan jawapan. Allah Sendiri yang menjawab soalan-Nya, ‘Kepunyaan siapakah Kerajaan pada hari ini?’ dengan berkata, lillah il-Wahid il-Qahhar, ‘Ia adalah kepunyaan Allah, Yang Maha Esa, Yang Maha Perkasa’.”

Hijrah ke Khwarazm dan Akhir Hayatnya

Menerima perintah surgawi, beliau berpindah dari Bukhara ke Khwarazm. Apabila beliau sampai di Khwarazm, beliau tidak masuk ke dalam bandar, sebaliknya tinggal di pintu gerbangnya dan menghantar utusannya kepada raja untuk memberitahunya, “Seorang penenun miskin telah datang untuk memasuki kerajaan kamu dan tinggal di dalamnya. Adakah kamu memberi keizinan atau tidak? Jika kamu memberi keizinan dia akan masuk. Jika tidak dia akan kembali.” Beliau meminta utusan itu mendapatkan surat bertulis, yang ditandatangani oleh raja, yang memberikan keizinannya. Apabila beliau menerima surat itu Syeikh bergerak masuk ke dalam bandar dan mula menyebarkan Jalan Sufi Naqshbandi. Setiap hari beliau pergi ke pusat bandar, bercakap dengan orang ramai, meminta mereka datang ke majlisnya dan membayar upah mereka pada hari itu. Beliau menjadikan seluruh bandar sebagai pengikutnya, jemaah yang soleh dan penjaga zikir yang berdedikasi. Beliau menjadi sangat terkenal di bandar itu. Orang ramai biasa menziarahinya dari merata tempat. Reputasinya yang baik membuatkan raja dan menteri-menterinya gerun akan pengaruhnya terhadap rakyat. Mereka cuba mengeluarkannya dari bandar. Memandangkan beliau telah meramalkan peristiwa ini, beliau menghantar semula surat itu kepada raja. Atas hal itu raja datang kepada syeikh dan memohon maaf, meminta keampunannya. Baginda menjadi salah seorang murid terulungnya.

Syeikh Ali wafat pada hari Isnin, 18 Zulkaedah pada tahun 715 Hijrah / 1315 Masihi atau 721 Hijrah / 1321 Masihi, pada usia 130 tahun.

Beliau mempunyai dua orang anak lelaki yang sangat terkenal dalam mengikut jejak langkah bapa mereka. Walau bagaimanapun, beliau tidak menurunkan rahsia itu kepada mereka. Sebaliknya beliau menyerahkannya kepada Syeikh Muhammad Baba as-Samasi (q).