Shaykh Muhammad az-Zahid
Semoga Allah Mensucikan Rohnya
“Penyakitku adalah aku tidak lagi mempedulikan penyakitku.
Wahai Penawar penyakitku, Engkaulah yang menjadi penyakitku.
Untuk seketika, aku bertaubat; tetapi sejak aku mengenal-Mu,
Taubatku menjadi hilang di dalam-Mu. Datangnya keampiran-Mu kini seperti perginya keasingan-Mu.
Bilakah ketenangan akan tiba?”
— Abu Bakr ash-Shibli.
Beliau adalah Kesempurnaan bagi Golongan yang Soleh, Jenius bagi para Pembimbing, Intipati kepada Kewalian. Dikurniakan ke atasnya Khalifah Ilahi (al-Khilafa al-Rabbaniyya), dan Kerajaan Kerohanian menjadi tempat perlindungannya. Beliau menggabungkan dalam peribadinya Ilmu Surgawi dan Ilmu Syariah, serta merangkumkan sebaik-baik tarikat dan hakikat, sehinggalah beliau menjadi tempat berlakunya segala Penzahiran dan Ilham Surgawi. Pada dirinya zahirlah Ilmu Ahli Makrifat. Beliau dikenali sebagai yang Unik dalam Ilmu dan Penggunaan Qalam. Beliau memikul di dalam hatinya rahsia-rahsia menarik hati manusia. Segala puji bagi Allah yang menegakkan Ilham Surgawi di dalam dirinya, dan yang mengurniakan kepadanya kuasa mukjizat dalam setiap perkara penting. Dia menghiasinya dengan Cahaya Sempurna Muhammad pada permulaan kenaikannya ke Stesen Ilmu Kerohanian. Beliau adalah Rahsia bagi Syeikhnya, Kiblat bagi pengikut Syeikhnya, dan Pewaris ilmu Syeikhnya.
Beliau menulis sebuah kitab mengenai tanda-tanda kerohanian Syeikhnya, Syeikh Ubaydullah (q), yang dinamakan Silsilat al-Arifeen wa Tadhkirat as-Siddiqeen di mana beliau menyatakan:
“Aku berkhidmat kepada Syeikhku selama 12 tahun sehingga baginda wafat, dari tahun 883 hingga 895 Hijrah. Sebab perhubungan dan bai’ahku kepada baginda bermula pada suatu hari apabila aku pergi bersama seorang sahabat, Syeikh Ni’matullah, dari Samarqand ke Herat demi meneruskan pelajaran kami. Apabila kami sampai di perkampungan Shadiman, kami tinggal di sana selama beberapa hari untuk berehat kerana ia adalah musim panas. Pada suatu hari Syeikh Ubaydullah al-Ahrar datang ke bandar yang sama, dan kami pergi menziarahinya pada waktu Asar.”
“Baginda bertanya dari manakah asal usulku. Aku berkata, ‘Dari Samarqand.’ Baginda berbicara kepada kami dengan cara yang paling halus. Melalui pertuturannya, baginda mendedahkan segala hal peribadi yang berada di dalam hatiku, sedikit demi sedikit, sehinggalah baginda memberitahuku mengapa aku bermusafir ke Herat. Perkara itu amat mengagumkan sehinggakan ia membuatkan hatiku tertambat kepada baginda. Baginda berkata kepadaku, ‘Jika matlamatmu adalah mencari pendidikan dan ilmu, kamu boleh mencarinya di sini, tiada keperluan untuk pergi ke Herat.’ Aku mengakui bahawa setiap omongan kecil dan setiap ilham yang berada di dalam hatiku terbuka luas di hadapannya seperti halaman sebuah buku; namun begitu, aku masih berhasrat untuk meneruskan perjalanan ke Herat.”
“Salah seorang pengikutnya yang tidak berpuas hati dengan niatku berkata, ‘Syeikh sedang sibuk menulis, kamu boleh pergi.’ Aku tidak pergi sebaliknya menunggu sehingga Syeikh kembali semula. Syeikh kembali dan berkata kepadaku, ‘Kini ceritakan kepadaku kisah sebenar kamu. Mengapakah kamu pergi ke Herat? Adakah kamu pergi mencari jalan kerohanian atau adakah kamu ke sana untuk mencari ilmu zahir?’ Sahabatku menjawab bagi pihak diriku, ‘Dia sedang mencari ilmu kerohanian, tetapi dia menggunakan usaha mencari ilmu zahir sebagai pelindung.’ Baginda bersabda, ‘Jika begitu keadaannya, ia adalah baik.’ Kemudian baginda membawa aku ke kebun peribadinya dan kami berjalan bersama-sama sehinggalah kami hilang daripada pandangan orang ramai. Baginda memegang tanganku dan aku dengan serta-merta memasuki keadaan Lenyap Diri (fana) untuk tempoh yang lama. Aku faham bahawa baginda sedang menghubungkan aku dengan Syeikhnya, dan daripada Syeikhnya kepada Syeikhnya, dan daripada Syeikhnya, sehinggalah sampai kepada Nabi dan daripada Nabi kepada Allah, Yang Maha Agung lagi Maha Mulia.”
“Baginda kemudian memberitahu aku bahawa aku akan dapat membaca dan memahami tulisan-tulisannya. Baginda melipatnya, menyerahkannya kepadaku, dan berkata:
‘Di dalamnya terdapat hakikat ibadah melalui ketaatan, ketakwaan, dan kerendahan diri. Dengan perantaraan lembaran ini, jika kamu mengikutinya, kamu akan merealisasikan mukasyafah terhadap Allah, Yang Maha Agung lagi Maha Kuasa.
Jalan ini diasaskan atas dasar cinta kepada Allah, yang diasaskan atas dasar mengikuti jejak langkah Nabi, yang diasaskan atas ilmu tentang Sunnah Baginda. Nabi bersabda, “Kamu wajib mengikuti jalanku dan jalan para khalifah selepas aku.” Untuk ini kamu mesti mendampingi para ulama soleh yang merupakan pewaris Ilmu Agama dan Pewaris Ilmu Syurga; Pewaris Ilmu Ghaib dan Ilmu Sifat Suci; Pewaris Cinta Kehadiran Ilahi. Persahabatan mereka akan membimbingmu menzahirkan Ilmu Ilahi dan mengikuti jalan murni Nabi.
Kamu mesti menjauhi ulama yang rosak yang menggunakan agama sebagai alat untuk mengumpul kesenangan dunia ini serta meraih kemasyhuran dan kedudukan. Jauhi golongan Sufi yang menari, yang bersikap seperti kanak-kanak dan tidak bertanggungjawab. Jangan dengar kata-kata mereka yang berbicara tanpa kefahaman tentang pelbagai omongan kosong, mengenai halal dan haram tanpa pernah membicarakan kepentingan agar tidak menyimpang daripada akidah Ahl as-Sunnah wal-Jamaah.
Jangan dengar hujah para ahli falsafah dan golongan yang tidak memahami apa pun tentang Tasawuf melainkan namanya sahaja, namun berpura-pura menjadi Sufi. Semoga Allah, anakku, menyambutmu dengan ucapan salam Islam.'”
“Baginda kemudian kembali ke perhimpunannya, membaca al-Fatihah untukku dan memberikan keizinan kepadaku untuk pergi ke Herat. Aku meninggalkan kehadirannya mengarah diri ke Bukhara. Baginda menghantar seorang utusan mengekoriku membawa sepucuk surat ditujukan kepada Syeikh Kallan, anak Mawlana Sa’d ad-din al-Kashgari. Di dalamnya tertulis, ‘Kamu mesti menjaga anakku yang membawa suratku ini dan menghalangnya daripada bercampur dengan ulama yang buruk.’ Apabila aku melihat bahasa yang penuh kasih sayang itu, cintaku kepada baginda semakin mendalam di dalam hatiku. Namun aku tidak kembali kepadanya, sebaliknya meneruskan perjalanan ke Herat.”
“Perjalanan ke Bukhara mengambil masa yang lama, kerana haiwan tungganganku lemah. Aku terpaksa berhenti setiap satu atau dua batu. Aku telah menggunakan enam ekor keldai sebelum aku sampai ke Bukhara. Apabila aku akhirnya tiba, mataku ditimpa penyakit dan aku tidak dapat melihat selama beberapa hari. Apabila keadaanku pulih dan aku bersiap untuk bertolak ke Herat, aku dijangkiti demam panas. Aku begitu sakit sehinggakan terlintas di hatiku jika aku meneruskan perjalanan aku mungkin mati. Aku memutuskan untuk tidak bermusafir lebih jauh sebaliknya pulang dan berkhidmat kepada Syeikh.”
“Selepas aku sampai di Tashkent, aku memutuskan untuk menziarahi Syeikh Ilyas al-Ashaqi. Aku meninggalkan buku-bukuku, pakaianku, dan haiwan tungganganku pada seorang penjaga. Salah seorang pelayan Syeikh Ubaydullah melihatku di tengah jalan. Aku berkata, ‘Mari kita ziarahi Syeikh.’ Beliau bertanya, ‘Di manakah haiwan tungganganmu? Bawalah ia ke rumahku dan kemudian kita pergi menziarahi.’ Semasa aku hendak mengambil haiwan tungganganku, satu suara datang kepadaku berkata, ‘Haiwan tungganganmu sudah mati, dan segala yang ada padanya telah hilang.’ Kebingungan yang besar melanda diriku. Aku sedar bahawa Syeikh tidak berpuas hati dengan rancanganku menziarahi Syeikh Ilyas. Fikiran terlintas di hatiku, ‘Lihatlah bagaimana Syeikh mengarahkan seluruh kuasanya untuk mengangkat diriku sedangkan aku telah memutuskan untuk menziarahi orang lain.’ Aku memutuskan tidak jadi menziarahi Syeikh Ilyas al-‘Ashaqi sebaliknya pergi terus kepada Syeikh Ubaydullah al-Ahrar. Apabila fikiran ini terlintas di hatiku, seorang lelaki datang kepadaku dan berkata, ‘Kami telah menemui haiwan tungganganmu beserta semua harta bendamu.’ Aku kembali kepada orang yang menjaga haiwan itu dan beliau memberitahuku, ‘Aku mengikat haiwanmu di sini, dan apabila aku mendongak, ia telah hilang. Aku mencari di mana-mana. Ia seolah-olah bumi telah menelannya. Kemudian aku kembali semula, dan haiwan itu ada di situ, tepat di tempat aku menambatnya pada mulanya.’ Aku mengambil haiwan tungganganku dan bertolak ke Samarqand kepada Syeikh Ubaydullah al-Ahrar (q). Apabila aku tiba, baginda keluar menyambut sambil berkata, ‘Selamat datang, selamat datang.’ Aku tinggal bersama Syeikh dan tidak pernah meninggalkannya sehinggalah baginda meninggalkan dunia ini.”
Beliau mempunyai keyakinan yang sempurna. Beliau menerima apa sahaja yang diajarkan oleh Syeikhnya dan tiada siapa pun yang dapat mengubah keyakinan tersebut. Beliau berkata:
“Syeikhku biasa berbicara tentang kerohanian dan ilmu rahsia. Baginda sentiasa menujukan pertuturannya kepadaku dan bertanya kepadaku, ‘Apabila kamu mendengar aku berbicara tentang Hakikat Ilahi, adakah ia mencetuskan sebarang percanggahan dalam dirimu berkaitan akidah yang kamu perolehi daripada ibu bapamu, guru-gurumu dan para ulama?’ Aku berkata, ‘Tidak, wahai Syeikhku.’ Baginda berkata, ‘Kalau begitu kamu adalah orang yang boleh kami ajak berbicara.'”
“Pada suatu hari Syeikhku sakit dan baginda mengarahkan aku mendapatkan doktor dari Herat. Mawlana Qassim datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, percepatkan perjalanan pergi dan balikmu, kerana aku tidak tahan melihat Syeikh sakit terlalu lama.’ Aku bermusafir dengan pantas dan kembali bersama doktor tetapi aku mendapati Syeikh telah sihat manakala Mawlana Qassim telah meninggal dunia. Perjalananku mengambil masa selama tiga puluh lima hari. Aku bertanya kepada Syeikhku, ‘Bagaimanakah Mawlana Qassim boleh meninggal dunia sedangkan usianya masih muda?’ Baginda berkata, ‘Apabila kamu pergi, Mawlana Qassim datang kepadaku dan berkata, “Aku menyerahkan nyawaku demi nyawamu.” Aku berkata kepadanya, “Wahai anakku, jangan buat begitu, kerana terlalu ramai orang mencintaimu.” Beliau berkata, “Wahai Syeikhku, aku datang ke mari bukan untuk meminta pandanganmu. Aku telah membuat keputusan and Allah telah menerimanya daripadaku.” Tidak kira apa yang aku katakan, aku tidak dapat mengubah fikirannya. Keesokan harinya beliau jatuh sakit dengan penyakit yang aku alami, yang berpindah kepadanya. Beliau meninggal dunia pada 6 Rabiulawal dan aku terus sembuh serta-merta, tanpa memerlukan doktor.'”
Shaykh Muhammad az-Zahid wafat pada 12 Rabiulawal, 926 Hijrah / 1520 Masihi di Samarqand. Beliau menurunkan rahsianya kepada anak saudaranya, Shaykh Darwish Muhammad as-Samarqandi (q).
