- Qasim ibn Muhammad ibn Abu Bakr as-Siddiq adalah salah seorang daripada tujuh ahli fikah yang paling terkenal di Madinah, merangkap yang paling berilmu di antara mereka. Apabila beliau menghampiri saat kematian, diriwayatkan bahawa Kaabah berkata, “Wahai Qasim! Aku akan merindui mu dan aku tidak akan melihat mu lagi di dunia ini.” Kemudian Kaabah melakukan tawaf sebanyak lima ratus pusingan mengelilingi Qasim sebagai tanda hormat kepadanya.
Selagi anda belum merenung Pencipta, Anda tergolong dalam kalangan makhluk ciptaan. Tetapi apabila anda telah merenung-Nya, Makhluk ciptaan pula yang menjadi milik anda.
-Ibn Ata Allah, Hikam [1]
Syeikh Qasim ibn Muhammad ibn Abu Bakr as-Siddiq adalah keturunan daripada Abu Bakr as-Siddiq dari sebelah bapanya dan daripada Ali ibn Abi Talib dari sebelah ibunya. Beliau dilahirkan pada hari Khamis, dalam bulan suci Ramadan.
Diriwayatkan bahawa beliau berkata, “Datuk saya, Abu Bakr as-Siddiq, berada bersendirian dengan Nabi (s) di dalam Gua THAWR semasa penghijrahan dari Makkah ke Madinah, dan Nabi bersabda kepadanya, ‘Kamu telah bersama daku sepanjang hidupmu dan kamu telah menanggung pelbagai jenis kesusahan. Dan kini aku mahu kamu memanjatkan satu doa untuk memohon kebaikan Allah ke atasmu.’ Abu Bakr kemudian berkata, ‘Wahai Nabi Allah, engkau adalah rahsia jiwaku dan rahsia hatiku. Engkau lebih tahu apa yang aku perlukan.'”
Nabi (s) mengangkat tangan baginda dan bersabda, “Ya Allah, selagi mana Syariat Ilahi ku berterusan sehingga Hari Kiamat [2] semoga Allah mengurniakan agar dalam kalangan zuriatmu terdapat orang yang membawanya dan orang yang mewarisi rahsia-rahsia batinnya, dan kurniakanlah agar dalam kalangan zuriatmu terdapat orang yang berada di atas Jalan Lurus dan orang yang membimbing kepadanya.” (rahsia yang Bapa kita berikan kepada kita sebagai Warisan Naqshbandi)
Jawapan pertama kepada doa tersebut dan orang pertama yang menerima keberkatan itu adalah Sayyidina Qasim (as). Pada zamannya beliau dikenali di Madinah sebagai Abu Muhammad. Orang ramai datang untuk mendengar bimbingannya, ceramah-ceramahnya (suhbah) dan pendedahan makna-makna al-Quran yang tersembunyi. Qasim ibn Muhammad ibn Abu Bakr as-Siddiq adalah salah seorang daripada tujuh ahli fikah yang paling terkenal di Madinah, merangkap yang paling berilmu di antara mereka. Melalui tujuh Imam besar inilah Hadis, perundangan awal, dan tafsir al-Quran disebarkan kepada orang ramai.
Beliau menemui sebahagian daripada Tabi’in (Pengikut Sahabat), termasuk Salim ibn Abd Allah ibn Umar.
Beliau adalah seorang imam yang soleh dan sangat berilmu dalam meriwayatkan Hadis.
Abu Zannad berkata, “Saya tidak pernah melihat sesiapa pun yang lebih baik daripada beliau dalam mengikuti Sunnah Nabi (s). Pada zaman kita tiada sesiapa pun yang dianggap sempurna sehinggalah dia sempurna dalam mengikuti Sunnah Nabi (s), dan Qasim adalah salah seorang daripada lelaki yang sempurna.”
Abd ar-Rahman ibn Abi Zannad berkata bahawa bapanya berkata, “Saya tidak melihat sesiapa pun yang lebih mengetahui tentang Sunnah selain al-Qasim.”
Abu Nuaym berkata tentang beliau dalam kitabnya Hilyat al-Awliya: “Beliau mampu mengeluarkan hukum-hukum perundangan yang paling mendalam dan beliau berada di kemuncak adab serta akhlak.”
Imam Malik meriwayatkan bahawa Umar ibn Abd al-Aziz, yang dianggap sebagai khalifah kelima yang mendapat petunjuk, berkata, “Jika ia berada di tangan saya, saya pasti akan melantik al-Qasim (as) sebagai khalifah pada zaman saya.”
Sufyan berkata, “Sesetengah orang datang kepada al-Qasim membawa sedekah yang kemudiannya diagihkan oleh beliau. Selepas beliau mengagihkannya, beliau pergi untuk menunaikan solat. Semasa beliau sedang solat, orang ramai mula bercakap buruk mengenainya. Anaknya berkata kepada mereka, ‘Kamu sedang bercakap di belakang seorang lelaki yang mengagihkan sedekah kamu dan tidak mengambil walau satu dirham pun daripadanya untuk dirinya sendiri.’ Dengan cepat bapanya menegurnya sambil berkata, ‘Jangan bercakap, tetapi diamlah.’ Beliau mahu mengajar anaknya supaya tidak membela dirinya, kerana satu-satunya hasrat beliau adalah untuk mencari keredaan Allah. Beliau tidak mempedulikan pandangan orang ramai.”
Yahya ibn Sayyid berkata, “Kami tidak pernah mendapati, pada zaman kami di Madinah, sesiapa pun yang lebih baik daripada al-Qasim.” Ayyub as-Saqityani berkata, “Saya tidak pernah melihat sesiapa pun yang lebih baik daripada Imam Qasim. Beliau meninggalkan 100,000 dinar untuk golongan fakir miskin apabila beliau meninggal dunia, dan kesemuanya adalah daripada hasil pendapatannya yang halal.”
Salah Satu Mukjizat Beliau
Grandsyekh Sharafuddin menceritakan kisah berikut:
Tahun di mana Abu Muhammad Qasim (as) mahu meninggalkan dunia ini, beliau memulakan perjalanan haji pada tiga Ramadan. Apabila beliau tiba di al-Qudayd, tempat para jemaah haji biasanya berhenti singgah, Allah membuka penglihatannya untuk menyaksikan para malaikat turun dari langit dan naik dalam jumlah yang tidak terhitung. Mereka turun, melawat tempat itu, dan kemudian naik semula. Dan semasa beliau memerhatikan malaikat-malaikat ini membawa keberkatan yang dengannya Allah mengutus mereka, seolah-olah cahaya dan kekuatan tumpat itu dicurahkan ke dalam hatinya secara terus, memenuhi hatinya dengan keikhlasan dan kesedaran ketuhanan.
Sebaik sahaja penglihatan ini berlaku, beliau tertidur. Di dalam mimpi beliau melihat Abu Bakr as-Siddiq datang menemuinya. Beliau berkata, “Wahai datukku, siapakah makhluk surgawi yang turun dan naik ini serta telah memenuhi hatiku dengan kesedaran ketuhanan?”
Abu Bakr as-Siddiq menjawab, “Malaikat-malaikat yang kamu lihat naik dan turun itu telah ditugaskan ke kubur kamu oleh Allah Yang Maha Tinggi. Mereka sentiasa melawatnya. Mereka memperolehi keberkatan dari tempat jasad kamu akan dikebumikan di bumi. Sebagai penghormatan kepada kamu, Allah memerintahkan mereka turun dan memohon keberkatan untuk kamu. Wahai cucuku, janganlah kamu lalai tentang kematianmu; ia akan tiba tidak lama lagi. Kamu akan meninggalkan dunia ini dan diangkat ke Hadirat Ilahi.”
Qasim (as) dengan serta-merta membuka matanya dan melihat datuknya di hadapannya. Beliau berkata, “Saya baru sahaja melihat datuk di dalam mimpi.” Abu Bakr as-Siddiq menjawab, “Ya, saya diarah untuk menemui kamu.” “Itu bermakna saya hampir meninggalkan dunia ini,” kata Qasim (as). “Ya, kamu akan meninggalkan dunia ini dan menemani kami ke akhirat,” kata tuan kita Abu Bakr as-Siddiq.
“Apakah jenis amal yang datuk nasihatkan untuk saya lakukan pada saat-saat akhir saya di bumi?” Qasim (as) bertanya kepada datuknya. Abu Bakr as-Siddiq (ra) menjawab, “Wahai anakku, basahkan lidahmu dengan zikrullah dan pastikan hatimu bersedia serta hadir bersama zikrullah. Itulah perkara terbaik yang boleh kamu capai di dunia ini.”
Kemudian Abu Bakr ghaib dan Qasim (as) memulakan zikir pada lidahnya dan di dalam hatinya. Beliau meneruskan perjalanannya ke Makkah di mana beliau tinggal sehingga tiba masa Haji. Kemudian beliau menyaksikan wuquf di Arafah (yang berlaku setiap tahun pada 9 Zulhijjah). Pada tahun itu ramai wali, lelaki dan wanita, hadir secara rohani di Arafah, dan Qasim bin Muhammad bin Abu Bakr as-Siddiq (ra) menemui mereka.
Semasa mereka berdiri, mereka semua mendengar Dataran Arafah dan gunungnya menangis hiba. Mereka bertanya kepada Gunung Arafah, “Mengapa kamu menangis begini?” dan Gunung Arafah menjawab, “Aku dan semua malaikat menangis, kerana hari ini bumi ini akan kehilangan salah seorang daripada pasaknya.”
Mereka bertanya, “Siapakah pasak yang bakal hilang dari bumi ini?” Gunung Arafah menjawab, “Abu Muhammad Qasim akan meninggalkan dunia ini, dan dunia tidak lagi dimuliakan dengan langkah kakinya, dan aku tidak lagi akan melihatnya di dataran ku, tempat semua jemaah haji datang, dan aku akan merinduinya. Itulah sebabnya aku menangis begini. Bukan sahaja dari diriku, malah datuknya Muhammad, dan datuknya Abu Bakr, dan datuknya Ali, serta seluruh dunia sedang menangis. Mereka berkata kematian seorang alim adalah kematian alam.”
Pada saat itu Nabi (s) dan Abu Bakr as-Siddiq (ra) hadir secara rohani di Arafah, di mana mereka sedang menangis. Nabi (s) bersabda, “Dengan kematian Qasim kerosakan besar akan muncul di muka bumi, kerana beliau adalah salah seorang pasak yang mampu menghalangnya.”
Sebelum ini, tangisan hiba Gunung Arafah itu hanya berlaku apabila Nabi (s) meninggalkan dunia ini, kemudian apabila Abu Bakr wafat, kemudian apabila Salman wafat, dan apabila Qasim (as) wafat. Salah seorang wali, Rabia al-Adawiyya, menemui Qasim (as) dalam perhimpunan rohani para wali dan beliau berkata, “Setiap benda kering dan benda hidup, aku mendengar mereka menangis. Mengapa, wahai Rabia, ini terjadi? Aku tidak pernah mengalami tangisan sebegitu dalam hidupku. Adakah kamu tahu puncanya?” Beliau menjawab, “Wahai Abu Muhammad, aku juga tidak dapat mengenalpasti sifat tangisan itu, jadi kamu mesti bertanya kepada datukmu, Abu Bakr.”
Abu Bakr menjelma kepada mereka secara rohani sambil berkata, “Tangisan dari setiap penjuru di bumi ini adalah kerana kamu sedang meninggalkan kehidupan dunia ini, seperti yang telah aku maklumkan kepada kamu semasa ibadah hajimu.” Kemudian Qasim (as) mengangkat tangannya dan berdoa kepada Allah, “Memandangkan aku sedang meninggalkan kehidupan ini sekarang, ampunilah sesiapa sahaja yang berdiri bersamaku di Gunung Arafah.” Kemudian mereka mendengar satu suara berkata, “Kerana kamu, Allah telah mengampuni sesiapa sahaja yang berdiri bersamamu di Gunung Arafah pada Haji kali ini.”
Pada saat itu Allah menyingkapkan ke dalam hati Qasim ilmu makrifat yang tidak terhad.
Kemudian beliau beredar dari Gunung Arafah dan berkata, “Wahai Gunung Arafah, jangan lupakan daku pada Hari Kiamat. Semua wali dan semua nabi berdiri di sini dan oleh itu aku meminta agar kamu tidak melupakan daku pada Hari Kiamat.” Gunung yang besar itu menjawab, “Wahai Qasim,” dengan suara yang kuat yang boleh didengari oleh semua orang, “Jangan lupakan daku pada Hari Kiamat. Jangan lupakan daku. Jadikanlah aku sebahagian daripada syafaat Nabi.”
Pada saat itu Qasim meninggalkan Gunung Arafah dan tiba di Makkah al-Mukarrama, di Kaabah. Di sana beliau mendengar suara tangisan datang dari Baitullah dan ia terus meningkat apabila beliau semakin menghampiri, sehingga semua orang dapat mendengarnya. Itulah suara Kaabah, yang menangisi pemergian Qasim (as) dari dunia ini. Pada masa yang sama limpahan air mata mengalir keluar dari Kaabah, membanjiri seluruh kawasan dengan air.
Baitullah berkata, “Wahai Qasim! Aku akan merindui mu kerana aku tidak akan melihat mu lagi di dunia ini.” Kemudian Baitullah melakukan lima ratus tawaf mengelilingi Qasim (as) sebagai tanda hormat kepadanya.
Perlu diketahui bahawa setiap kali seseorang wali melawat Kaabah dan memberi salam kepadanya, Kaabah akan membalas salam tersebut dengan berkata, “Wa alayka as-salam ya wali-Allah,” “dan ke atas kamu keselamatan, wahai kekasih Allah.”
Kemudian Qasim (as) mengucapkan selamat tinggal kepada Hajar al-Aswad (Batu Hitam), kemudian kepada Jannat al-Mualla, perkuburan di mana Khadija al-Kubra, isteri pertama Nabi (s), dikebumikan, dan kemudian kepada seluruh kota Makkah. Beliau kemudian bertolak dan pergi ke al-Qudayd, sebuah tempat di antara Makkah dan Madinah, pada 9 Muharram, di mana beliau berpindah ke alam akhirat. Tahun itu adalah 108 (atau 109) Hijrah / 726 Masihi, dan usianya adalah tujuh puluh tahun. Beliau menurunkan rahsia Rantaian Emas Naqshbandi kepada penggantinya, cucunya, Imam Jafar as-Sadiq (as).
Mawlana Jafar As Sadiq
[1] Ibn Ataillah, Sufi Aphorisms, hlm. 57.
[2] Allah berfirman, “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya (daripada sebarang penyelewengan).” (15:9) Ini bermakna Syariat Ilahi dipelihara sehingga Hari Kiamat.
