Hati saya telah menjadi mampu menampung segala bentuk:
Padang rumput untuk rusa, biara untuk penganut Kristian,
Kuil untuk berhala, Kaabah bagi para jemaah haji.
Lat Taurat, Kitab al-Quran.
Saya menganuti agama Cinta.
Ke arah mana sahaja unta-unta cinta menuju,
Itulah agama dan akidah saya.
-Ibn Arabi, Tarjuman al-ashwaq
Tempat Lahir: Kazerun atau Isfahan, Iran
Tempat Persemadian: Salman Pak, Al-Mada’in, Iraq
Gelaran-gelaran Salman Farsi
Salman al-Farsi (as) berdiri teguh dalam menghadapi kesukaran dan penderitaan yang amat sangat, demi membawa Cahaya di atas Segala Cahaya dan menyebarkan rahsia-rahsia hati, untuk mengangkat manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Beliau merupakan seorang Sahabat Nabi yang mulia yang meriwayatkan enam puluh Hadis Nabi.
Salman al-Farsi (as) dikenali sebagai “Imam (Pemimpin),” “Pewaris Islam,” “Hakim yang Bijaksana,” “Ulama yang Berilmu” dan Ahlul Bayt (Salah Seorang Ahli Bait Nabi). Kesemuanya ini adalah gelaran yang diberikan oleh Nabi kepadanya. [Selain itu, beliau dikenali sebagai:
- Al-Farsi (Orang Parsi)
- Al-Muhammadi (Pengikut Muhammad)
- Abu Al-Kitabayn (Bapa kepada dua kitab: Kitab Injil dan al-Quran Suci)
- Luqman Al-Hakeem (Luqman yang Bijaksana)
- Paak (Suci)
Abu Hurairah dikatakan merujuk kepada Salman sebagai “Abu al-Kitabayn” (“bapa kepada dua kitab”; iaitu Kitab Injil dan al-Quran), dan Ali dikatakan merujuk kepadanya sebagai “Luqman al-Hakeem” (“Luqman yang bijaksana,” merujuk kepada seorang lelaki bijaksana yang disebutkan di dalam al-Quran). Apabila orang ramai bertanya tentang salasilah keturunannya, Salman dikatakan menjawab: “Aku adalah Salman, anak kepada Islam daripada keturunan Adam.”]
Kelahiran dan kehidupan awal
[Salman adalah seorang Parsi yang dilahirkan dengan nama Rouzbeh Khoshnudan di bandar Kazerun di Wilayah Fars, atau Isfahan di Wilayah Isfahan di Iran masa kini. Dalam sebuah hadis, Salman juga menjejaki salasilah keturunannya ke Ramhormoz. Enam belas tahun pertama kehidupannya ditumpukan untuk belajar menjadi seorang paderi atau magus Zoroastrian, selepas itu beliau menjadi penjaga sebuah kuil api. Tiga tahun kemudian pada tahun 587 beliau bertemu dengan satu kumpulan Kristian Nestorian dan berasa kagum dengan mereka. Menentang kehendak bapanya, beliau meninggalkan keluarganya untuk menyertai mereka. Keluarganya memenjarakannya selepas itu untuk menghalangnya tetapi beliau berjaya melarikan diri.
Salman (as) mengembara ke seluruh Timur Tengah untuk membincangkan idea-idanya dengan para paderi, teologi, dan sarjana dalam pencariannya akan kebenaran, dan pada mulanya menetap di Mosul (Niniwe purba). Semasa tinggal di Syria, beliau mendengar tentang Muhammad, yang kedatangannya telah diramalkan oleh guru Kristian terakhir Salman semasa nazak. Selepas itu dan semasa perjalanannya ke Semenanjung Tanah Arab, beliau telah dikhianati dan dijual kepada seorang Yahudi di Madinah.]
Rahsia Penghambaan – untuk Berkhidmat kepada Rasulullah
Salman Farsi (as) berasal dari keluarga Zoroastrian yang sangat dihormati dari sebuah bandar berhampiran Isfahan. Pada suatu hari ketika melalui sebuah gereja, beliau tertarik dengan suara lelaki-lelaki yang sedang berdoa. Tertarik dengan ibadah mereka, beliau meneroka masuk dan mendapati ia lebih baik daripada agama didikan asalnya. Apabila mengetahui bahawa agama itu berasal dari Syria, beliau meninggalkan rumah, menentang kehendak bapanya, pergi ke Syria dan mendampingi satu siri rahib pertapa Kristian. Beliau mula mengetahui daripada mereka tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman dan tanda-tanda yang mengiringi kemunculannya.
Beliau kemudian mengembara ke Hijaz (Arab Saudi) di mana beliau ditangkap, dijual sebagai hamba, dan dibawa ke Madinah, (Hamba yang Sempurna dan Sejati tanpa mempunyai kehendak sendiri, membenarkan dirinya menjadi hamba demi menemui Sayyidina Muhammad (s)) di mana beliau akhirnya bertemu dengan Nabi. Apabila beliau mendapati pada diri Nabi pemenuhan segala tanda yang telah diberitahu kepadanya oleh guru-guru Kristiannya, beliau memeluk Islam. Status penghambaan menghalang Salman (as) daripada menyertai perang Badr dan Uhud.
Utusan Allah membantu beliau mendapatkan pembebasannya daripada perhambaan dengan menanam, menggunakan tangannya sendiri, 300 batang pokok kurma dan memberikannya sekeping emas yang besar. Setelah menjadi seorang yang merdeka, beliau mengambil bahagian dalam setiap peperangan selepas itu bersama Nabi.
Pencarian Nabi Muhammad
Dalam Sirat Rasul Allah karya Ibn Ishaq, kita mendapati catatan berikut daripada keterangan Salman (as) kepada Nabi tentang perjalanannya mencari agama yang benar:
Asim ibn Umar ibn Qatada berkata bahawa beliau diberitahu bahawa Salman orang Parsi (as) telah menceritakan kepada Nabi bahawa tuannya di Ammuriya menyuruhnya pergi ke satu tempat tertentu di Syria di mana terdapat seorang lelaki yang tinggal di antara dua belukar. Setiap tahun apabila lelaki itu pergi dari satu tempat ke tempat yang lain, orang sakit berdiri di sepanjang jalannya dan setiap orang yang didoakannya disembuhkan. Beliau berkata, “Tanyalah kepadanya tentang agama yang kamu cari ini, kerana dia boleh memberitahu kamu mengenainya.” Maka saya meneruskan perjalanan sehingga saya sampai ke tempat yang telah diceritakan kepada saya. Saya mendapati orang ramai telah berkumpul di situ bersama orang sakit mereka sehingga lelaki itu keluar kepada mereka pada malam itu berjalan dari satu belukar ke belukar yang lain. Orang ramai datang kepadanya membawa orang sakit mereka. Setiap orang yang didoakannya disembuhkan. Mereka menghalang saya daripada mendekatinya. Saya tidak dapat menghampirinya sehingga beliau memasuki belukar yang ditujunya. Saya memegang bahunya. Beliau bertanya kepada saya siapakah saya ketika beliau berpaling kepada saya dan saya berkata, “Semoga Allah merahmati kamu, beritahu saya tentang Al-Haniyfiyah, agama Ibrahim (as).” Beliau menjawab, “Kamu bertanya tentang sesuatu yang tidak ditanyakan oleh manusia pada hari ini. Masanya sudah hampir tiba apabila seorang nabi akan diutus dengan agama ini daripada kalangan penduduk tanah suci. Pergilah kepadanya, kerana dia akan membawa kamu kepadanya.” Kemudian beliau masuk ke dalam belukar. Nabi bersabda kepada Salman (as), “Jika kamu telah memberitahu ku perkara yang benar, kamu telah menemui Isa (as) anak Maryam (as).”
Peranannya dalam Perang al-Khandaq
Dalam salah satu peperangan Nabi yang dinamakan al-Ahzab atau al-Khandaq, Salman (as) mencadangkan kepada Nabi agar menggali parit di sekeliling Madinah bagi mempertahankan kota tersebut, satu cadangan yang diterima dengan senang hati oleh Nabi. Beliau kemudian meneruskan usaha dan membantu kerja-kerja penggalian dengan tangan beliau sendiri. Semasa kerja penggalian ini, Salman (as) telah memukul sebuah batu yang tidak dapat dipecakannya. Nabi mengambil sebilah kapak dan memukulnya. Pukulan pertama memercikkan cahaya. Baginda kemudian memukulnya buat kali kedua dan memercikkan cahaya kedua. Baginda kemudian memukul buat kali ketiga dan memercikkan cahaya ketiga.
Baginda kemudian bertanya kepada Salman (as), “Wahai Salman, adakah kamu melihat percikan-percikan cahaya itu?”
Salman (as) menjawab, “Ya, wahai Nabi, sesungguhnya saya melihatnya.” Nabi bersabda:
- “Percikan cahaya pertama memberikan kepada saya satu penglihatan di mana Allah telah membukakan Yaman untuk saya.”
- “Dengan percikan cahaya kedua, Allah membukakan Damsyik dan al-Maghrib (Barat).”
- “Dan dengan percikan cahaya ketiga, Allah membukakan untuk saya sebelah Timur.”
Salman (as) melaporkan bahawa Nabi bersabda:
- “Tiada apa pun yang dapat menolak takdir melainkan doa.”
- “Tiada apa pun yang dapat menambah usia melainkan amal kebajikan,” dan
- “Tuhan kamu Maha Pemurah lagi Maha Mulia dan berasa malu untuk menolak dengan tangan kosong tangan seorang hamba apabila dia menadahkannya kepada-Nya.”
At-Tabari menceritakan bahawa pada tahun 16 Hijrah / 637 Masihi tentera Islam beralih ke barisan hadapan Parsi. Untuk menentang Raja Parsi pada suatu ketika, tentera Islam mendapati diri mereka berada di tebing seberang Sungai Tigris yang besar. Panglima tentera, Saad ibn Abi Waqqas, mengikuti satu mimpi, memerintahkan seluruh tentera agar terjun ke dalam sungai yang deras itu. Ramai orang takut dan ketinggalan ke belakang. Saad (ra), dengan Salman (as) di sisi beliau, berdoa terlebih dahulu, “Semoga Allah mengurniakan kemenangan kepada kita dan mengalahkan musuh-Nya.” Kemudian Salman (as) berdoa, “Islam melahirkan nasib baik. Demi Allah, menyeberangi sungai telah menjadi begitu mudah bagi orang-orang Islam seperti menyeberangi padang pasir. Demi Zat yang di tangan-Nya jiwa Salman, semoga para tentera keluar dari air dengan jumlah yang sama seperti ketika mereka memasukinya.” Saad (ra) dan Salman (as) kemudian terjun ke dalam Sungai Tigris. Dilaporkan bahawa sungai itu dipenuhi dengan kuda-kuda dan lelaki. Kuda-kuda itu berenang dan apabila mereka penat dasar sungai seolah-olah terangkat dan menyokong mereka sehingga mereka dapat bernafas semula. Bagi sesetengah orang, kelihatan seolah-olah kuda-kuda itu meredah ombak tanpa sebarang kesukaran. Mereka muncul di tebing sebelah sana, seperti yang telah didoakkan oleh Salman (as), tanpa kehilangan sebarang kelengkapan mereka kecuali secawan tin, dan tiada seorang pun yang lemas.
Mereka meneruskan perjalanan untuk menawan ibu kota Parsi. Salman (as) bertindak sebagai jurucakap dan berkata kepada orang Parsi yang ditawan, “Saya mempunyai asalusul yang sama dengan kamu. Saya akan berasa belas kasihan terhadap kamu.
- Kamu mempunyai tiga pilihan.
- Kamu boleh memeluk Islam, maka kamu akan menjadi saudara-saudara kami dan kamu akan mempunyai keistimewaan dan kewajipan yang sama seperti kami.
- Atau kamu boleh membayar cukai bukan Islam dan kami akan mentadbir kamu secara adil.
- Atau kami akan mengisytiharkan perang terhadap kamu.” Orang Parsi, setelah menyaksikan penyeberangan ajaib tentera Islam, menerima pilihan kedua.
Salman al-Farsi (as) akhirnya dilantik sebagai gabenor wilayah tersebut. Beliau adalah panglima kepada 30,000 tentera Islam. Namun, beliau sangat rendah diri. Beliau sara hidup daripada hasil kerja tangannya sendiri. Beliau tidak memiliki sebuah rumah, sebaliknya berehat di bawah teduhan pokok. Beliau berkata bahawa beliau terkejut melihat begitu ramai orang menghabiskan seluruh hidup mereka untuk dunia yang rendah, tanpa memikirkan kematian yang pasti yang akan meragut mereka dari dunia ini suatu hari nanti.
Beliau seorang yang sangat tegas dan adil. Antara harta rampasan perang yang diagihkan pada suatu hari ialah kain yang daripadanya setiap Sahabat dipotong sehelai pakaian. Pada suatu hari Sayyidina Umar (as) bangun untuk berucap dan berkata, “Perlahankan suara kamu supaya kamu dapat mendengar saya.” Beliau memakai dua helai kain daripada kain tersebut. Salman (as) berkata, “Demi Allah, kami tidak akan mendengar kamu, kerana kamu mengutamakan diri kamu berbanding rakyat kamu.” “Bagaimana pula itu?” tanya Sayyidina Umar (as). Beliau berkata: “Kamu memakai dua helai kain dan orang lain hanya memakai sehelai.” Sayyidina Umar (as) memanggil. “Wahai Abdullah!” Abdullah, anaknya, menjawab, “Saya sahut panggilanmu!” Sayyidina Umar (as) berkata, “Aku bertanya kepada kamu demi Allah, adakah kamu mengesahkan bahawa helai kedua itu adalah milik kamu?” Abdullah berkata, “Ya.” Salman (as) berkata, “Sekarang barulah kami akan mendengar kamu.”
Setiap malam beliau solat, dan apabila beliau penat beliau akan mula berzikir dengan lidahnya. Apabila lidahnya penat, beliau akan merenung dan bermeditasi tentang kekuasaan dan keagungan Allah dalam ciptaan. Beliau kemudian berkata kepada dirinya sendiri, “Wahai nafsuku, kamu telah berehat, sekarang bangunlah dan solat.” Kemudian beliau akan berzikir lagi, kemudian bermeditasi, dan begitu seterusnya sepanjang malam.
Bukhari meriwayatkan dua Hadis yang menunjukkan keprihatinan Nabi terhadap Salman al-Farsi (as).
Abu Hurairah (ra) meriwayatkan: “Semasa kami duduk bersama Nabi Suci, Surat al-Jumu’ah telah diturunkan kepadanya. Apabila Nabi membaca ayat, “And He (God) has sent him (Muhammad) also to others (than the Arabs)” (62:3), saya berkata, “Siapakah mereka, wahai Rasulullah?” Nabi tidak menjawab sehingga saya mengulangi soalan saya sebanyak tiga kali. Pada masa itu Salman al-Farsi (as) bersama-sama kami. Rasulullah meletakkan tangan baginda ke atas Salman (as), seraya bersabda, “Kalaulah iman berada di bintang Thuraya (Pleiades), nescaya beberapa lelaki daripada kaum ini (iaitu kaum Salman) akan mencapainya.”
Persaudaraannya dengan Abu Darda (ra)
Abu Juhayfa (ra) meriwayatkan: “Nabi telah mengadakan ikatan persaudaraan antara Salman (as) dan Abu ad-Darda al-Ansari. Salman (as) menziarahi Abu ad-Darda dan mendapati Umm Darda (isterinya) memakai pakaian yang comot. Beliau bertanya kepadanya mengapa beliau berada dalam keadaan sedemikian. Beliau berkata, “Saudara kamu Abu ad-Darda tidak berminat dengan kemewahan dunia ini.” Sementara itu Abu ad-Darda datang dan menyediakan makanan untuk Salman (as). Salman (as) meminta Abu ad-Darda makan bersama-samanya, tetapi Abu ad-Darda berkata, “Saya sedang berpuasa.” Salman (as) berkata, “Saya tidak akan makan melainkan jika kamu makan.” Maka Abu ad-Darda pun makan bersama Salman (as). Apabila tiba waktu malam dan sebahagian daripada malam telah berlalu, Abu ad-Darda bangun (untuk menunaikan solat sunat malam), tetapi Salman (as) menyuruhnya tidur dan Abu ad-Darda pun tidur. Selepas beberapa lama Abu ad-Darda bangun lagi tetapi Salman (as) menyuruhnya tidur. Apabila tiba saat-saat akhir malam, Salman (as) menyuruhnya bangun ketika itu, dan kedua-dua mereka menunaikan solat. Salman (as) memberitahu Abu ad-Darda, “Tuhan kamu mempunyai hak ke atas kamu, diri kamu mempunyai hak ke atas kamu, dan keluarga kamu mempunyai hak ke atas kamu.” Abu ad-Darda menceritakan keseluruhan kisah itu kepada Nabi. Nabi bersabda, “Salman telah berkata benar.”
Daripada Kata-kata Salman Farsi (as):
Sulaiman al-Teemi (ra) meriwayatkan bahawa Salman al-Farsi (as) berkata:
- Namrud telah membiarkan dua ekor singa kelaparan, dan kemudian melepaskan mereka untuk membaham kekasih kesayangan Allah, Ibrahim. Tetapi apabila singa-singa itu menghampirinya dan dengan izin Allah, mereka berdiri di hadapannya dengan penuh takzim, dan kedua-duanya dengan penuh kasih sayang menjilat seluruh badannya dan sujud di kakinya.
Abi al-Bakhtari meriwayatkan bahawa Salman al-Farsi (as) mempunyai seorang hamba perempuan keturunan Parsi dan beliau pernah bercakap kepadanya dalam bahasa Parsi sambil berkata, “Sujudlah walaupun sekali kepada Allah.” Wanita itu menjawab dengan penuh keangkuhan, “Saya tidak sujud kepada sesiapa pun!” Seseorang bertanya kepada Salman (as), “Wahai Abu Abdullah, apakah faedah yang diperolehi olehnya daripada satu sujud?” Salman (as) menjawab, “Setiap pautan adalah bahagian penting dalam satu rantaian, dan mungkin sekiranya wanita ini bersetuju untuk melakukan satu sujud di hadapan Allah SWT, maka ini boleh membimbingnya untuk secara kerap melakukan solat lima waktu. Malah, seseorang yang mempunyai bahagian dalam keberkatan Islam tidak sama dengan seseorang yang tidak mempunyai apa-apa langsung mengenainya.”
Sulaiman al-Teemi meriwayatkan bahawa Salman al-Farsi (as) berkata:
- Jika seseorang menghabiskan seluruh malamnya membebaskan hamba daripada belenggu perhambaan dan seorang lelaki lagi menghabiskan malamnya membaca al-Quran dan menyeru zikir mengingati Allah (dhikr), lelaki yang kedua itu akan berada pada kedudukan yang lebih tinggi.
Pemergian Beliau
Salman al-Farsi (as) yang tercinta telah kembali ke rahmatullah pada tahun 33 Hijrah / 654 Masihi semasa pemerintahan Uthman. Beliau telah menurunkan rahsianya kepada cucu Abu Bakr, Imam Abu Abdur Rahman Qasim ibn Muhammad ibn Abu Bakr as-Siddiq (as).
